Memaparkan catatan dengan label kahwin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kahwin. Papar semua catatan

Ahad, 9 Ogos 2009

Kenduri Kahwin Iman : Kenduri


Tanggal 2 Ogos 2009, berlangsung pula kenduri kahwin Iman dan Nisa di rumah lelaki iaitu rumah sayalah. Setelah berhempas pulas berminggu2 akhirnya hari yang ditunggu2 tiba juga. Dari awal pagi lagi saya sudah pun bangun dan berpusing2 keliling Bdr Baru Bangi dengan sebilah kapak. Untuk memacak papan tanda ya, dan bukan untuk menyamun sesiapa. Orang kata tak jumpa tukul, kapak pun berguna. Boleh ketuk papan tanda, dan juga bila melintas jalan dengan kapak di tangan, kereta2 yang lalu lalang akan lebih perlahan, dan kita lebih selamat.

Gerbang dan banner penyambut tetamu.

Tiba di rumah semula, krew2 catering sudah tiba dan mula menyusun meja. Busu Seman dan Uncle Salleh juga dah tiba untuk mendirikan gerbang. Saya pun menolonglah apa yang patut. Pagi itu redup dan nyaman, alhamdullillah mudah kami untuk membuat kerja2.


Meja dah tersusun.

Tak berapa lama, siaplah segala persiapan yang perlu untuk perkendurian. Brader DJ pun dah buat port kat rumah sebelah dan lagu pun dah bunyi, khemah katering kat hujung jalan pun dah mula berasap dan mereka kecoh berceloteh sambil menggoreng ayam berempah. Mama dan saudara mara serta jiran2 di dalam pun dengan celoteh mereka pula sambil tangan mengisi bakul cenderahati dengan telur yang dah direbus.

Pintu gerbang dan bunga manggar dah siap!

Maka tiba masanya saya bersiap. Eh bukan bersiap nak kahwin, cuma tukar bajulah, setelah berpeluh2 panjat sana bersihkan sini. Tema di rumah kami adalah warna ungu, maka saya pun bersiaplah dengan sepasang baju melayu kurung johor dan sampin seadanya. Tengok kat cermin, hmm rasa macam segak jugak (perasan), cuma mata tak cukup tidur dan rambut mengerbang tak sempat potong. Pakai songkok gerenti tak muat. Lantaklah.

Orang dah mula datang.

Dalam pukul 12 tgh hari begitu, orang sudah mula berkunjung. Bermula dengan saudara2 ayah dari Sg. Besar iaitu Pak Long Manan dan anak menantu serta cucu2nya sekali, diikuti kawan2 ayah dan mama. Sementara orang baru2 datang ni, sedara2 dan jiran2 yang menolong makan dahulu. Saya tak makan dulu sebab masih kenyang sarapan.

Jemput makan ya!

Orang semakin ramai tiba. Kawan2 Iman daripada Denso dan Western Dgital sampailah HSBC dulu pun datang jugak. Kawan2 cikgu mama, dan kawan2 persatuannya, kawan2 UKM ayah dan rakan2 penulisnya. Dan saudara-mara jauh dekat, ipar besan serta yang lain2 daripada Man bengkel sampailah kepada Joe nasi lemak kat pasar bawah tu semua hadir memeriahkan majlis.

Dan pada lebih kurang pukul 145, rombongan pengantin pun tibalah untuk berarak ke pelamin. Kompang dipalu, kipas dihayun, langkah di susun, payung dipegang, dan pasangan pengantin serba ungu berjalan perlahan2 melepasi gerbang bahagia dan melalui para tetamu menuju ke pelamin. Dan acara bersanding dan merenjis pengantin pun bermula.

Giliran Mama merenjis.

Bukan setakat keluarga dan sanak saudara, habis semua kawan2 dan bos2 Denso si Iman turut serta merenjis kedua mempelai. Pabila selesai, pengantin beralih ke meja makan untuk makan berhidang. Ke makan beradab, ke menghadap. Ah apa2 lah, yang penting, pengantin pergi makan. Dan selesai makan, kek pun disorong untuk upacara memotong kek. Kek yang dipotong diberi kepada para tetamu sebagai berkat.

Potong kek.

Lebih kurang pukul 4 petang, tetamu beransur2 kurang dan pihak tuan rumah yang belum makan macam saya ni ambil peluang untuk makan. Pengantin sibuk melayan tetamu2 dan saudara mara yang berbaki sambil2 ambil gambar. Dan tepat pukul empat, geng2 katering mula mengemaskan meja2 yang sudah tidak diduduki lagi, menandakan tamatlah kenduri perkahwinan pada hari tersebut.

Kami sekeluarga. Dari kiri berdiri, Rian (abg sulung), Ayah, Saya, Mama, Zainal(abg ipar) mendukung Fiqah, Alia(kakak 2nd).
Duduk dari kiri Zali(abg ipar), Susan(akak ipar) dan Harith, Emi di belakang Yana, Ita (akak 1st) dan Ecah.

Walaupun ada sedikit ralat apabila purse akak Ita telah dicuri oleh pencuri yang menyelinap ke bilik pengantin, namun kenduri tetap juga diteruskan. Moga Tuhan saja membalas kejahatan manusia2 yang sebegini. Hari berakhir dengan acara membuka hadiah pada malam hari. Gelak ketawa kemi sekeluarga terus kedengaran sehinggalah tengah malam.

Selamat Pengantin Baru kepada Iman dan Nisa!

Sabtu, 8 Ogos 2009

Kenduri Kahwin Iman : Pernikahan

Pada hujung minggu lepas, tanggal 1 Ogos 2009, berlangsunglah upacara pernikahan adik saya yang bernama Iman dengan pasangannya Nisa. Di sini ingin saya kongsi pengalaman pahit manis sepanjang hujung minggu tersebut.


Antara hantaran2 pihak lelaki.

Hari dimulakan dengan majlis pernikahan yang berlangsung pada waktu pagi. Setelah berhempas pulas, maka ibu saya berjaya juga menyiapkan hantaran dari pihak lelaki yang semuanya adalah 5, 6 dulang. Sepatutnya 5 tapi entah bagaimana ada dulang tambahan yang nak menyibuk. Ikut adat bilangan kena ganjil maka saya sebut 5 dulang tambah 1 lah ya.

Lagi hantaran pihak lelaki.

Maka sejak belum sempat ayam berkokok lagi sudah dikerah segala isi rumah dan juga ditelefon segala adik beradik dan rombongan pihak kami untuk bersiap sedia berarak ke tempat pernikahan iaitu di Masjid Putrajaya.

Serbaneka buah2an dan alat solek.

Maka bederet2 juga kereta rombongan dari pihak kami yang berjumlah sepuluh buah juga adanya untuk bersama2 membawa 5 dulang tambah 1 ini. Masing2 siap segak dan cantik berpakaian tradisional baju melayu dan kurung kebaya.

Bergambar dengan hantaran.

Sesampainya di sana kami disambut dengan gerimis pagi, tanda rahmat dari Yang Maha Esa. Setelah bergambar kenang2an di hadapan masjid lebih kurang, kami pun berangkat masuk ke dalam. Sedikit malang apabila adik bongsu pengantin ditahan oleh penjaga masjid kerana memakai kebaya yang jarang di bahagian lengan. Orang dah pesan, pakai elok2 tapi dia degil atau tak dengar, maka dia terpaksalah masuk ke masjid dengan jubah pinjam yang biasanya dipakai oleh pelancong2 yang tak berpakaian sesuai.

Bersedia menunggu tok imam.

Keluarga pihak pengantin perempuan sudah pun menanti ketibaan kami dan hantaran disusun rapi sementara menunggu ketibaan tok imam. Banyak juga mata yang melihat kelibat kami, terutamanya pelancong2 yang berkunjung untuk melawat masjid. Ada juga yang duduk sekali menunggu bersama2 kami. Eh salah, itu adik saya yang kena pakai jubah tadi tu.


Hantaran bersusun.


Nervous, bro?

Setelah tok imam tiba, maka majlis diteruskan dengan akad nikah. Dengan sekali lafaz, maka sahlah Iman menjadi suami kepada Nisa. Berdoalah semua demi kebahagiaan pengantin hingga ke akhir hayat. Sesi bergambar juga tidak dilupakan sebagai penutup majlis. Dan sebelum berangkat pulang, pihak pengantin perempuan telah memberi cenderamata kepada setiap ahli rombongan kami beserta bekalan makan. Adik saya yang berjubah tadi itu tidak sabar2 lagi dan terus makan di dalam kereta sewaktu perjalanan pulang. Barangkali lapar bercampur geram agaknya.

Hantaran dari pihak perempuan di dalam bilik pengantin.

Setibanya di rumah, kami menyambung kerja2 mempersiapkan rumah untuk kenduri di rumah kami yang dijadualkan berlangsung pada esoknya. Semua berganding bahu dan tangan agar majlis esok harinya berjalan lancar. Pelamin dinaikkan oleh pakar pelamin yang juga sepupu Mama iaitu Busu Seman dari Seremban. Seronok dan meriah apabila saudara mara berkumpul sebegitu. Dalam kemeriahan itu, rupa2nya pengantin berdua tertinggal di Masjid Putrajaya kerana keluarga masing2 tergesa2 balik agaknya. Maka abang ipar saya pergilah semula ke masjid untuk menyambut pengantin. Kelakar jugak bila difikirkan.

Busu Seman sedang mencari kerusi pelamin.

Menjelang malam, kami pun bersiap2 semula dengan baju melayu dan kurung serta kebaya bagai untuk ke majlis pihak perempuan yang berlangsung di Dewan Perbadanan Putrajaya yang di depan Palace of Justice tu. Saya bertolak dengan menumpang kereta dua pupu saya, Dr Anis, sehingga kebas tangan saya kerana memegang bunga pahar sepanjang perjalanan. Namun semua itu hilang apabila tiba di sana dan melihat kemeriahan di dewan majlis. Setelah masuk ke dewan bersama2 pengantin, pasangan raja sehari dihiburkan dengan tarian daripada kumpulan penari jemputan. Perasaannya tak ubah macam dalam filem2 lama yang ada scene tarian2 di balairong seri. Cuma bezanya yang ini ada kaler. Dan lagi kerusi pelaminnya sangat besar, rasa nak pinjam saja beri pada Busu Seman.


Persandingan di dalam dewan.


Sepupu2 mama dari singapura.


Sewaktu pengantin makan beradab, ada penayangan slaidshow memperkenalkan pengantin kepada para tetamu yang hadir. Maka secara tidak langsung keluarlah muka abangnya ini yang daripada kecil sampai besar saiznya berbeza2, lantas mengundang gelak ketawa pada yang duduk semeja dengan saya. Sabar jelah.


Potong kek.

Selesai makan, kedua pengantin memotong kek perkahwinan bersama2 dan selepas itu sesi bergambar. Sambil2 pengantin bergambar dengan tetamu di pelamin, ternampaklah saya akak Ita dan suaminya bergambar berdua di kek pengantin dengan gaya pengantin baru. Teringin juga rupanya.

Amik separuh je sebab tak muat.



Lebih kurang pukul 1030 maka majlis pun berakhir dan kami pun berangkat pulang. Masih ada tugas yang saya perlu selesaikan sebelum esoknya menjelang untuk keduri di pihak kami pula. Maka bertungkus lumus jugalah saya menyiapkan papan tanda arah jalan sehingga entah pukul berapa. Esoknya merupakan hari yang bersejarah buat kami sekeluarga, terutamanya kepada pasangan pengantin baru Iman dan Nisa. Sambung ya.


Papan tanda.


Pengsan kepenatan menyiapkan papan tanda.