Isnin, 6 Jun 2011

Pemergian seorang sepupu.




Salam semua,

Hujung minggu lepas merupakan hujung minggu yang sibuk. Sempena cuti sekolah, maka banyak pula wedding yang berlangsung, dan jemputan melimpah ruah.

Namun begitu, bagi keluarga saya, hujung minggu lepas bermula dengan berita buruk. Pada petang Jumaat, seorang sepupu saya belah ayah telah meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya. Allahyarham selamat dikebumikan pada malam itu juga pada jam sepuluh malam begitu.

Cuma satu perkara saja yang buatkan saya sedikit terkilan (selain pemergian arwah), iaitu apabila arwah selamat dikebumikan, dan bacaan talqin bermula. Tok Imam pada malam itu bersikap agak kurang sensitif dengan memulakan talqin dengan kata-kata yang berunsur sindiran. Katanya inilah akibatnya anak-anak muda sekarang yang bawa motor tak berhati-hati. Lebih kurang begitulah maksudnya.

Memanglah arwah meninggal dunia akibat kemalangan motor. Namun begitu tak adillah jika terus menghukum  arwah begitu, sedangkan beliau tidak kenal pun arwah mahupun keluarganya. Lebih-lebih lagi di hadapan ayah dan ibu  dan adik beradikserta saudara mara arwah. Mungkin juga niatnya untuk beri peringatan kepada rakan-rakan arwah yang ramai hadir dengan motosikal, namun pada saya, ianya kurang sesuailah. Hadir ke pengkebumian saja sudah cukup memberi keinsafan pada semua, tidak perlulah disebut-sebut, lagi pula dengan nada sindiran. Bukan saya saja yang berpendapat begini, rata2 saudara mara saya juga berpendapat yang sama tentang Tok Imam tu.

Ini merupakan kehilangan kedua dari kalangan sepupu saya akibat kemalangan motosikal. Walaupun hidup mati adalah suratan Allah SWT, namun saya tetap mengambil iktibar bahawa risiko menunggang motosikal adalah tinggi. Walaupun kini saya tidak menunggang motor lagi, namun kita perlu sentiasa peka dengan penunggang2 motor di sekeliling kita. Setiap kali hendak memusing stereng, perhatikanlah dahulu cermin sisi kalau2 ada motor di kiri atau kanan kenderaan kita.

Saya akan terus mendoakan arwah agar mendapat tempat di sisi orang2 bertakwa, insyaAllah.  Moga roh Allahyarham Muhamad Haidar dicucuri rahmatNya.
Al-Fatihah.