Jumaat, 21 Ogos 2009

Sepetang di Picadily

Petang tadi aku dan rakan2 sepejabat keluar bersama untuk makan malam. Sebagaimana biasa hari Khamis memang aku berlanjutan di pejabat sehingga lewat petang kerana pada malamnya kami akan bermain futsal.

Kali ini kami hanya bertiga kerana seorang lagi tidak dapat serta atas urusan keluarga. Tujuan kami adalah ke Picadily, sebuah restoran yang tidak jauh dari pejabat. Makanannya pelbagai, dan harganya berpatutan.

Orang kata seeloknya jangan makan sebelum bersukan; ia hanya menambah berat pergerakan dan boleh mungkin muntah. Namun jika lapar juga tidak akan mampu bersukan, maka kami makan sederhana saja.

Nasi ayam bangkok yang aku order agak menarik dan berbeza sedikit dari segi ayamnya yang digoreng dan dipotong kecil2, dan nasinya kuat dengan bau halia. Udon goreng pesanan temanku pula sedap pada udonnya yang istimewa. Seorang lagi memesan nasi dengan ikan masam manis yang bagiku berlebih2 sosnya.

Air minumanku sedikit gagal. Cincau yang kupesan bagai tiada manisnya. Temanku yang dua orang itu pula memesan ais kacang dan entah apa sudah kulupa. Ais kacangnya menarik jika melihat aiskrim yang bertenggek di atasnya. Namun warna serba kuning dengan aiskrim kuning membuatkan aku wajar memanggilnya 'ais jagung' daripada ais kacang. Sedikit sayang apabila temanku itu menikmatinya sebahagian saja.

Sebenarnya sengaja aku ceritakan perihal makan dan minum kerana mulai esok malam kita akan menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang mulia. Mungkin selepas ini tidak manis untuk menulis tentang makanan, maka lebih baik kutuliskan sekarang.

Ingin juga kuambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat berpuasa kepada semua moga Ramadhan kali ini membawa keberkatan kepada kita, InsyaAllah.

1 ulasan:

Sarah berkata...

Makan puas-puas sebelum berpuasa dan makan puas-puas juga semasa berpuasa. So?

Catat Ulasan